10 ‘Magical Effect’ Niacinamide Lakukan Pada Kulit Kita

‘Niacinamide’ yang menjadi kegilaan ramai atau secara asasnya merupakan salah satu terbitan berasal daripada Vitamin B. Ianya juga dipercayai memberi kesan yang efektif kepada kulit wajah di samping Vitamin C, kolagen mahupun retinol. Pemilihan produk penjagaan kulit merangkumi sifatnya yang lembut pada kulit (gentle on skin) tanpa memberi kerengsaan serta sangat berkesan sebagai antioksidan dan bahan pengelupas (exfoliator) yang ada pada niacinamide. Melalui dapatan kajian yang lalu, pemakaian niacinamide melalui sapuan kulit boleh merawat beberapa masalah kulit termasuklah jerawat dan ekzema.

Gambar oleh Angela Roma daripada Pexels

Terdapat banyak kebaikan atau ‘magical effect‘ dengan penggunaan niacinamide. Pertama, niacinamide boleh membantu membina kandungan protin pada lapisan kulit dan mengekalkan kelembapan (lock in moisture) bagi melindungi kulit daripada kerosakan persekitaran seperti cahaya matahari, pencemaran udara dan sebagainya. Jenis protin yang terhasil adalah keratin yang memberi keanjalan dan kesihatan kulit. Niacinamide juga boleh membantu kulit menghasilkan lapisan ceramide (lipid) pada kulit yang mengekalkan kelembapan kulit wajah. Seperti memberikan manfaat dua dalam satu, ianya amat sesuai bagi kulit matang bagi melambatkan tanda-tanda penuaan.

Selain itu, niacinamide berupaya mengurangkan masalah inflamasi pada kulit dengan meminimakan kemerahan, bintik-bintik merah akibat kulit sensitif, jerawat dan ekzema. Sifatnya yang menguatkan penghadang kulit (skin barrier) serta lembut menjadikan ianya juga efektif digunakan bersama bahan aktif untuk kulit yang lain seperti retinol kerana penggunaannya memudahkan bahan lain yang terdapat dalam produk skincare untuk menyerap ke dalam lapisan kulit. Permintaan bagi produk yang mengandungi niacinamide semakin meningkat walaupun kajian saintifik mengenai keberkesanannya masih terhad.

Gambar oleh Mikhail Nilov daripada Pexels

Beberapa tahun kebelakangan ini, produk niacinamide semakin popular selepas pendedahan melalui sosial media (Instagram dan TikTok) tersebar oleh dermatologis, beautician serta pakar kimia kerana potensi niacinamide memberi kesan maksima pada kulit wajah. Niacinamide juga didapati membantu memberikan kesan ‘glass skin‘ kerana boleh meminimakan saiz pori seterusnya melicinkan dan melembutkan kulit dengan penggunaan berterusan secara teratur. Efek lembapan kulit yang diberi juga membantu mengawal penghasilan sebum atau minyak yang boleh menyebabkan pori tersumbat dan penghasilan jerawat.

Pendedahan kepada sinaran UV dari matahari akan menyebabkan kerosakan kulit seperti hiperpigmentasi, penuaan pramatang yang memudahkan jeragat tumbuh. Antara kelebihan niacinamide yang lain ialah boleh merawat hiperpigmentasi dengan mencerahkan bintik-bintik hitam kerana ianya menggalakkan penghasilan kolagen pada kulit. Kepekatan niacinamide pada skala 5% juga didapati boleh mengurangkan garis halus serta kedutan pada wajah. Justeru, penggunaan produk niacinamide bukan hanya untuk orang muda tetapi juga kepada peringkat umur yang lebih tua.

Gambar oleh Pavel Danilyuk daripada Pexels

Tekanan pada kulit selain sinaran UV seperti pencemaran udara, alergik pada produk riasan (makeup), toksin, serta hormon juga boleh memberi kesan buruk pada kulit. Oleh itu, penggunaan niacinamide digalakkan untuk melindungi kulit daripada oxidative stress yang biasanya menjadikan anda kelihatan lebih tua daripada usia serta kulit kusam. Sifat niacinamide yang mengurangkan kadar inflamasi pada kulit didapati membantu mengawal dan meredakan masalah jerawat yang mengandungi pus atau nanah. Dengan penggunaan yang kerap dan berterusan, niacinamide membantu membaikpulih tekstur kulit yang tak sekata, di samping mencerahkan parut dan meratakan tona kulit yang kusam.

Niacinamide secara keseluruhannya sesuai digunakan untuk semua jenis kulit termasuklah, kulit berjerawat, berminyak, kulit kering, kulit sensitif dan kulit matang. Tekstur kulit limau yang berlubang juga boleh dirawat dengan bantuan niacinamide. Bagi mendapatkan sumber vitamin B3 yang maksima, ambil makanan yang mengandungi khasiat tersebut seperti telur, bijirin, kekacang serta susu. Walaupun ianya tidak hanya memfokus kepada kepentingan kulit, khasiat vitamin B boleh menurunkan paras kolesterol dalam darah selain membantu menjalankan fungsi tubuh dalam sistem saraf dan juga sistem pencernaan.


Maryam Azalan adalah penulis di bawah program Headliner oleh Newswav, sebuah program di mana pencipta kandungan dapat menceritakan kisah unik mereka melalui artikel, pada masa yang sama menjana pendapatan melalui kandungan mereka dalam aplikasi Newswav.
Sila daftar di headliner.newswav.com untuk menjadi penulis kami sekarang!

*Kandungan di atas hanya mewakili pandangan penulis sendiri. Sekiranya anda mempunyai pertanyaan mengenai kandungan karya, hak cipta atau masalah lain, sila hubungi Newswav.

Maryam Azalan
Author: Maryam Azalan

BSc Food Nutrition, MSc Immunology. PhD student in Biomedicine Pharmacology