5 Aplikasi Telefon Pintar Untuk Lebih Produktif

Kewujudan telefon pintar yang semakin canggih pada setiap hari telah meningkatkan kadar penubuhan aplikasi telefon yang baharu dan persaingan sengit antara aplikasi digital. Tambahan pula dengan kewujudan pembantu maya seperti Siri, Google Assistant, Cortana dan lain-lain telah menjadikan pengguna cenderung menjadikan telefon pintar sebagai suatu aset untuk kekal produktif setiap hari.

Aplikasi yang paling penting bagi setiap pengguna untuk memastikan jadual kerja dan kehidupan seharian mereka teratur semestinya pengurusan projek dan kerja. Tidak kiralah pengguna itu pelajar, pekerja atau suri rumah, memiliki aplikasi yang boleh mengingatkan mereka tentang sesuatu tugasan adalah penyelamat keadaan.

Berikut adalah 5 aplikasi telefon pintar untuk lebih produktif serta kreatif dalam menguruskan kerja, kewangan serta gaya hidup.

1. TickTick: ToDo List Planner, Reminder & Calendar

TickTick merupakan satu aplikasi yang berfungsi sebagai pengurus jadual waktu, perancang dan juga kalendar yang boleh diselaraskan di semua platform. Kelebihan utama TickTick adalah, ianya memiliki widget kalendar dan to-do-list bagi desktop serta telefon di bahagian latar tanpa perlu membuka aplikasi setiap kali terdapat penambahan agenda dan aktiviti.

Fungsi yang paling unik adalah, aplikasi ini membolehkan perbincangan dan kerjasama bersama keluarga serta rakan kerja dalam menjayakan suatu tugas mahupun merancang percutian tahunan pada waktu yang sama.

Selain daripada itu, aplikasi ini menawarkan teknik pomodoro untuk lebih fokus dalam menyelesaikan suatu tugasan. Pengguna juga boleh menilai tahap fokus mereka berdasarkan graf dan carta yang dipaparkan diruangan tetapan.

2. Money Lover: No.1 Expense Manager & Budget Planner

Merancang kewangan adalah suatu rutin yang boleh mengambil masa yang lama jika pengguna tidak mempunyai rekod simpanan yang konsisten. Dengan adanya aplikasi pengurusan kewangan, pengguna tidak lagi perlu risau terhadap kecuaian merekod perbelanjaan mereka.

Money Lover adalah salah satu aplikasi yang mempunyai ciri yang paling unik kerana pengguna boleh menghubungkan akaun Bank mereka dan transaksi tersebut akan direkod secara automatik dengan langganan premium. Pengguna juga boleh mengurus dan merancang kewangan mereka secara manual menggunakan pelbagai peranti seperti telefon, tablet mahupun telefon. Malah, rekod perbelanjaan melalui aplikasi ini boleh menyimpan gambar resit sebagai bukti pembelian.

3. Sleep Town

Untuk meningkatkan kualiti hidup seharian, kita seharusnya memiliki waktu tidur yang cukup. Sleep Town bukan sahaja aplikasi yang boleh digunakan sebagai merekod waktu tidur pengguna, malah ia juga menawarkan pembinaan sebuah bandar bagi jadual tidur yang teratur.

Untuk memastikan bangunan itu menghasilkan keuntungan, pengguna mestilah tidur dan bangun dalam waktu yang telah ditetapkan oleh pengguna sendiri. Keseronokan dalam menggunakan aplikasi ini adalah apabila pengguna dapat menyiapkan satu bandar yang cantik tanpa sebarang bangunan yang tidak siap.

Ciri yang paling unik adalah, pengguna boleh merancang waktu tidur bersama rakan terdekat untuk membina pembangunan keajaiban dunia.

4. Taskade: All-in-One Collaboration. Remote Team Workspace

Taskade merupakan aplikasi yang sangat bagus dalam merancang kerja secara berpasukan dan menyiapkan tugasan tanpa perlu bersemuka. Pembahagian kerja, perbincangan, mesyuarat dan penyampaian juga boleh diselesaikan hanya dengan menggunakan aplikasi ini pada waktu yang sama. Dengan icon yang comel dan warna yang menarik, Taskade boleh diguna secara persendirian serta boleh dikongsi bersama orang ramai.

Antara ciri paling menarik yang ditawarkan oleh aplikasi ini adalah, pengguna boleh membuat panggilan telefon dan kongsi skrin bersama rakan kerja. Ianya sama seperti ASANA, tetapi lebih comel! Ia juga memiliki aplikasi di telefon pintar dan juga desktop.

5. Canva

Canva merupakan satu aplikasi reka cipta yang paling kreatif dan berkembang pesat dalam kalangan industri pemasaran dan pengiklanan. Dengan hanya menggunakan templat yang sedia ada dan sedikit ubah suai daripada pengguna, design itu seolah dibuat oleh seorang professional.

Canva adalah penyelamat bagi pengguna yang kurang berkemahiran dalam menggunakan perisian design seperti Adobe Photoshop dan Adobe Illustrator. Pelbagai rekaan boleh dibuat secara sambilan menggunakan telefon pintar. Aplikasi ini juga menawarkan rekaan secara serentak bersama rakan kerja tanpa perlu bersemuka.

Penambahan ciri unik paling ketara yang ditawarkan oleh Canva adalah merekod video sambil memberi penerangan slide serta menyusun jadual kandungan bagi tujuan pemasaran di Instagram, Facebook, Twitter, Pinterest dan LinkedIn.

Tidak dinafikan perkembangan dunia digital semakin pesat dan tidak terkejar. Kitaran hidup juga dirasa semakin singkat dan pengguna tidak lagi berkesempatan untuk mencuba kesemua aplikasi yang ditawarkan. Pemilihan untuk memuat turun aplikasi yang berguna adalah bergantung kepada pengguna sendiri. Jika anda sudah selesa dengan aplikasi yang sedia ada dan ianya mempunyai ciri yang bagus, anda juga boleh kongsikan dengan rakan taulan.

Semoga bermanfaat!


Sofie Adie adalah penulis di bawah program Headliner oleh Newswav, sebuah program di mana pencipta kandungan dapat menceritakan kisah unik mereka melalui artikel, pada masa yang sama menjana pendapatan melalui kandungan mereka dalam aplikasi Newswav.
Sila daftar di headliner.newswav.com untuk menjadi penulis kami sekarang!

*Kandungan di atas hanya mewakili pandangan penulis sendiri. Sekiranya anda mempunyai pertanyaan mengenai kandungan karya, hak cipta atau masalah lain, sila hubungi Newswav.

Sofie Adie
Author: Sofie Adie

An enthusiast of the digital world.