6 Jenis Permainan Zaman Dulu Yang Kini Dilupakan

Permainan dulu sering dilupakan dek arus pemodenan. Kanak-kanak zaman sekarang lebih suka terperuk di dalam rumah sambil melayari internet. Berbeza dengan budak-budak yang lahir pada tahun 80an dan 90an, kebanyakan masa mereka di luar rumah dan berseronok sambil mengeluarkan peluh. Masa dulu, mana ada game online macam zaman sekarang, handphone ada tapi tak secanggih kini.

Jadi, jom kita tengok apa yang kita main zaman dulu. Antara permainan yang sudah dilupakan kini termasuklah:

Sumber : Photography-illusion

1. Teng-teng

Permainan ini juga dikenali sebagai Ketinting. Kebiasaannya, kanak-kanak perempuan sahaja yang bermain permainan ini berbanding kanak-kanak lelaki. Teng-teng dimainkan dari dua hingga enam orang setiap gelanggang. Gelanggang teng-teng hanya dilukiskan petak-petak di atas tanah sahaja. Terdapat 9 petak kosong yang perlu dilukis pada tanah. Gundu adalah sebagai perkakasan penting yang dimainkan bersama. Gundu ini adalah tanda bagi para pemain untuk menggerakkan kedudukan mereka ke petak-petak seterusnya.

2. Lompat Tali

Permainan lompat tali juga disebut sebagai lompat getah dan zero point oleh segelintir masyarakat. Getah perlu disambung panjang dan dimatikan hujungnya supaya tidak terburai ketika permainan sedang berlangsung. Lompat tali ini memerlukan sekurang-kurangnya tiga orang pemain, iaitu seorang yang memegang hujung kanan dan seorang lagi di hujung kiri, manakala seorang lagi sebagai orang yang akan melompat.

3. Batu Seremban

Batu Seremban juga dikenali sebagai permainan Selambut atau Serembat. Permainan ini adalah satu permainan yang mana batu-batu kecil dilambung dan kemudiannya disambut kembali. Batu Seremban ini dimainkan oleh kanak-kanak perempuan sama ada secara individu atau berpasangan. Permainan ini juga boleh dimainkan sekurang-kurangnya 2 orang pemain sahaja. Biasanya, Batu Seremban ini menggunakan guli kaca, biji getah, ketul batu kecil atau objek kecil yang berbentuk bulat.

Sumber : Wikipedia

4. Tarik Upih

Tarik upih juga merupakan permainan zaman dulu yang popular. Ia merupakan satu permainan yang dimainkan oleh kanak-kanak. Upih pinang adalah pelepah daun pokok pinang. Daun pinang dari pelepah itu akan dibuang dan dijadikan hulu atau tempat untuk menarik upih tersebut. Tarik upih ini mesti dimainkan oleh dua orang atau lebih. Satu orang mesti menjadi tukang tarik dan seorang lagi duduk di dalam upih. Upih ini boleh dinaiki seorang, dua orang malah lebih lagi asalkan muat dan bergantung kepada saiz upih tersebut.

5. Konda Kondi

Konda-kondi dikenali sebagai Perik Mata. Permainan ini memerlukan fikiran yang tajam dan kekuatan pemain, iaitu ketika memikirkan arah yang selamat untuk menguis kayu dan mengejar kayu yang dikuis agar mematikan pihak lawan. Konda-kondi memerlukan dua batang kayu yang berukuran 15cm dan 30cm panjang. Kayu pendek dipanggil anak dan yang panjang dipanggil ibu. Lubang sedalam 15cm juga perlu dikorek bagi meletakkan kayu panjang. Undian secara “wan to som” digunakan bagi membentuk pasukan mana yang harus memainkan terlebih dahulu.

Sumber : Tradisionalsports

6. Galah Panjang

Galah Panjang adalah sejenis permainan yang melintasi garisan-garisan berhalang. Tujuang permainan ini adalah untuk menguji kecekapan pemain berlar melintasi halangan. Permainan ini dimainkan oleh kanak-kanak lelaki dan kanak-kanak perempuan seramai 10 orang atau lebih. Galah panjang ini dimainkan di atas gelanggang yang dilakar di atas tanah lapang dan rata. Gelanggang yang dibuat mengandungi 2 lajur dan beberapa baris bergantung kepada bilangan pemain. Jika penjaga gelanggan dapat menyentuh anak buah, maka anak buah akan mati dan dikehendaki keluar gelanggang. Jika penjaga gelanggang menyentuh ketua, maka seluruh ahli penempuh akan tamat giliran dan akan bertukar giliran antara penjaga dan penempuh.

Seronok juga permainan dulu-dulu. Teringat dulu kerap juga main batu seremban. Pantang ada masa terluang, pasti main bermain bersama kawan-kawan. Permainan dulu sangat membantu fizikal dan mental kanak-kanak, ini kerana permainan dulu mengajarkan mereka untuk berani berhadapan dengan sebarang risiko di dalam kehidupan. Sudah pasti mereka yang lahir 80an dan 90an merindui permainan diatas!


ombakbergigi adalah penulis di bawah program Headliner oleh Newswav, sebuah program di mana pencipta kandungan dapat menceritakan kisah unik mereka melalui artikel, pada masa yang sama menjana pendapatan melalui kandungan mereka dalam aplikasi Newswav.
Sila daftar di headliner.newswav.com untuk menjadi penulis kami sekarang!

*Kandungan di atas hanya mewakili pandangan penulis sendiri. Sekiranya anda mempunyai pertanyaan mengenai kandungan karya, hak cipta atau masalah lain, sila hubungi Newswav.

ombakbergigi
Author: ombakbergigi

Bukan rezekimu sempit, tetapi sedekahmu yang sedikit.