Amalkan Makanan Ini Untuk Mengurangkan Risiko Kanser

Kanser berlaku apabila terdapat perubahan pada DNA. Kanser adalah sejenis penyakit yang berpunca daripada pembahagian sel-sel yang tidak terkawal dan merebak kepada bahagian sekitar tisu badan di kawasan permulaan ianya tumbuh. Sel badan yang terhasil akan membesar dan apabila telah tua (matang) atau rosak, ia akan mati dan sel baru pula akan tumbuh. Apabila berlaku kecacatan dalam proses urutan kitaran hidup sel sama ada proses pembahagian yang tidak normal, sel badan tersebut akan tumbuh sebagai ketumbuhan (tumor) dalam bentuk ketulan. Saintis percaya, risiko kanser boleh diminimakan dengan diet yang seimbang dan gaya hidup yang sihat walaupun punca kepada terjadinya penyakit kanser masih memerlukan kajian mendalam. Kajian sains juga menyarankan untuk mengawal berat badan pada tahap normal, disertai makanan yang mempunyai kandungan anti-oksidan dan phyto-kimia (phytochemicals) yang tinggi boleh membantu mengurangkan risiko kanser.

Gambar oleh SHVETS production daripada Pexels

Vitamin, mineral, dan nutrien lain yang tedapat dalam sesetengah makanan didapati boleh meningkatkan atau menurunkan risiko kanser daripada penyelidikan tentang perkaitan corak pemakanan yang diamalkan dengan kanser. Makanan yang mempunyai kandungan anti-oksidan dan phyto-kimia adalah merupakan sumber daripada tumbuh-tumbuhan (plant-based food). Contoh-contoh phyto-kimia yang terdapat dalam tumbuhan adalah carotene, polyphenol, dan kompaun allium. Carotene biasanya terdapat dalam tumbuhan yang berwarna merah, kuning, oren, dan sesetengah sayur berwarna hijau gelap. Sayuran dan buah-buahan berwarna tersebut adalah seperti lobak merah, tomato, capsicum, buah roselle, oren, prune, mangga, melon, dan sebagainya.

Polyphenol pula biasanya dijumpai dalam tumbuhan herba, rempah ratus, sayur-sayuran, teh, kopi, coklat, kekacang, buah epal, bawang dan lain-lain tumbuhan. Polyphenol merupakan kompaun dari sumber tumbuhan yang boleh mengelakkan inflamasi, jangkitan dan juga penyakit kardiovascular. Kajian pada tahun 2018 mendapati, kandungan polyphenol phloretin yang terdapat dalam buah epal didapati berupaya menyekat sejenis protein yang berfungsi dalam pertumbuhan barah payudara pada tahap lanjutan tanpa memberi kesan pada sel normal yang sihat.

Kedua-dua anti-oksida dan polyphenol juga boleh turut terkandung dalam jenis tumbuhan yang sama. Sebagai contoh, lobak merah atau buah oren yang mempunyai kandungan kedua-dua bahan yang mampu mengurangkan risiko kanser. Anti-oksida bertindak melindungi tubuh daripada oksida yang merupakan bahan yang menyebabkan kerosakan pada sel. Antara nutrien yang berfungsi sebagai anti-oksida adalah beta carotene, vitamin C dan E, selenium dan lain-lain. Selain itu, teh hijau juga mempunyai kandungan anti-oksida yang tinggi kerana terdapat suatu bahan iaitu catechins didapati boleh mengecutkan sel tumor dan mengurangkan tumbesaran tumor selain melindungi tubuh daripada pendedahan yang berpunca daripada bahan radikal.

Gambar oleh Mark Stebnicki daripada Pexels

Antara herba atau rempah ratus yang mempunyai kualiti untuk mengurangkan risiko kanser ialah kunyit dan bawang putih. Bawang putih amat terkenal dengan kelebihannya sebagai makanan anti-kanser. Beberapa kajian mendapati individu yang mengamalkan bawang putih dalam pemakanan harian mempunyai risiko yang rendah untuk mendapatkan kanser terutama sekali kanser pada bahagian sistem pencernaan seperti kanser usus dan sebagainya. Bagi kunyit yang sinonim dengan amalan pemakanan kaum India, curcumin adalah sejenis bahan yang turut berguna sebagai anti-kanser. Kajian oleh American Cancer Society mendapati curcumin menghalang sel kanser daripada tumbuh, mengecutkan sel kanser serta mengelakkan daripada ianya merebak.

Amalan pemakanan menjadi faktor utama dalam menjaga kesihatan tubuh selain daripada aktiviti fizikal dan kesihatan mental. Kata-kata mutiara yang berbunyi, “Kebanyakan penyakit datang daripada perut” adalah sangat bertepatan kerana kesan kesihatan amat berkait rapat dengan diet harian tidak hanya tertakluk kepada penyakit kanser sahaja tetapi juga penyakit-penyakit yang lain. “You are what you eat“, anda adalah apa yang anda makan sangat memberi gambaran bahawa kondisi kesihatan dipengaruhi oleh pemakanan boleh membantu kita untuk lebih teliti dalam menjaga tubuh dari segi pemakanan. Walaupun punca kepada terjadinya kanser masih belum jelas, risiko yang tinggi didapati bagi individu yang mempunyai sejarah keluarga bagi penyakit ini. Amalan pemakanan yang diterangkan dapat diamalkan untuk membantu mengurangkan risiko kanser berlaku.


Maryam Azalan adalah penulis di bawah program Headliner oleh Newswav, sebuah program di mana pencipta kandungan dapat menceritakan kisah unik mereka melalui artikel, pada masa yang sama menjana pendapatan melalui kandungan mereka dalam aplikasi Newswav.
Sila daftar di headliner.newswav.com untuk menjadi penulis kami sekarang!

*Kandungan di atas hanya mewakili pandangan penulis sendiri. Sekiranya anda mempunyai pertanyaan mengenai kandungan karya, hak cipta atau masalah lain, sila hubungi Newswav.

Maryam Azalan
Author: Maryam Azalan

Full-time postgraduate student, writer and content creator.