Bercinta Selepas Kahwin? Belum Mengenali Bakal Pasangan Secara Peribadi? Ketahui ‘Red Flag’ Sebelum Akad Terlafaz

Perkahwinan yang diatur oleh keluarga adalah perkara biasa pada zaman 70-an atau 80-an iaitu di zaman ibu dan ayah kita mencari pasangan. Setelah beberapa abad berlalu, perkahwinan yang diatur atau ‘arrange marriage‘ menjadi semakin asing kerana kebanyakan daripada kita lebih memilih untuk mencari pasangan sendiri. Namun, masih ramai juga yang tidak kisah sekiranya ibu bapa, kaum kerabat atau kenalan yang membantu mencari calon isteri atau suami buat diri mereka. Ada sesetengah yang tidak tahu bagaimana cara memikat atau bercinta lebih suka sekiranya kenalan yang mencari calon pasangan dan ada juga yang memilih untuk bercinta selepas kahwin. Bercinta selepas kahwin hakikatnya lebih manis dan lebih memberikan getaran hati (make your heart flutters) kerana banyak perkara yang belum pernah dilakukan sebelum berkahwin. Percintaan selepas perkahwinan memberi pengalaman manis yang tidak akan dilupakan oleh orang yang tidak pernah bercinta sebelumnya.

Walau bagaimanapun, memilih bakal pasangan bukan semudah membeli sayur di pasar. Kemungkinan negatif bagi anda yang memilih pasangan melalui perkahwinan yang diatur adalah boleh jadi pasangan yang dipilih mempunyai sikap buruk yang tidak anda ketahui malah cuba menyembunyikannya sebelum perkahwinan. Bagaikan malang tidak berbau, hidup selepas perkahwinan boleh mengubah nasib hidup anda sekiranya pasangan yang dipilih tiada persefahaman atau tidak sekufu. Berlainan dengan pasangan kekasih yang sudah bercinta dan saling mengenali antara satu sama lain, bagi anda yang belum mempunyai calon dan ingin bercinta selepas nikah mesti menyelidik sebelum menerima lamaran atau menghantar rombongan melamar. Beberapa petanda atau ‘red flag‘ boleh anda kesan untuk memastikan anda tidak tersilap memilih pasangan.

Photo by Emma Bauso from Pexels

Pertama, kenali karakter diri anda dan selidik karakter yang anda suka serta sifat yang tidak disukai untuk menjadi pasangan anda. Sebagai contoh, jika anda tidak suka kepada orang yang tangkai jering, pastikan anda bertanya terus kepada bakal pasangan atau orang-orang yang mengenali bakal pasangan anda tentang karakter individu tersebut. Menyelami karakter diri terlebih dahulu menjadi kunci untuk anda mengenali sifat yang dibenci oleh diri sendiri. ‘Taaruf‘ atau maksudnya proses perkenalan diamalkan oleh ramai pasangan untuk mengenali calon suami atau isteri dengan lebih dekat. Komunikasi adalah isu yang sering menjadi masalah bagi pasangan yang sudah berkahwin. Sebaiknya, pilih bakal suami atau isteri yang mudah atau selesa apabila berkomunikasi dengannya. Jangan pula apabila ditanya soalan, tidak dibalas dengan jawapan atau menolak menerima soalan daripada anda semasa proses perkenalan.

Selain itu, penting untuk anda ketahui sama ada bakal pasangan serta keluarganya adalah sekufu dengan diri anda ataupun tidak. Sekufu atau dengan maksud lain adalah setaraf atau sama martabatnya. Setaraf bukan hanya dari segi taraf ekonomi, pendidikan mahupun pangkat tetapi juga dari segi gaya hidupnya. Orang yang sudah biasa hidup dalam kemewahan, keluarganya yang kaya raya serta mempunyai pembantu rumah yang menjaga urusan rumah termasuklah membersih, memasak, mencuci pakaian dan sebagainya berkemungkinan tidak handal dalam melakukan tugasan di rumah. Jika anda ingin mengahwini individu tersebut, penting untuk anda menerima tanpa rungutan sekiranya pasangan anda tidak melaksanakan tugasan rumah kerana sudah dibesarkan dalam keluarga yang serba serbi diuruskan pembantu. Penting juga untuk anda fikirkan sama ada anda mampu untuk menggaji pembantu rumah sekiranya diminta. Isu tidak setaraf sering menjadi punca perceraian kerana gaya hidup yang amat berlainan seperti yang digambarkan. Oleh itu, selidik dengan lebih mendalam sebelum ke jinjang pelamin.

Gambar dari Pexel oleh Cottonbro

Kebanyakan daripada kita merasakan perkahwinan suatu keperluan yang lumrah apabila sampai pada usia tertentu dan sering membuat target untuk berkahwin pada umur yang dirasakan sesuai. Namun, tidak ramai yang menyelidik atau mencermin diri sama ada mereka sudah fahami tanggungjawab yang mesti ditunaikan setelah berkahwin serta hak yang perlu diberikan kepada pasangan masing-masing. Jika tiket kepada kursus perkahwinan digunakan sebagai bukti bahawa anda telah memahami tanggungjawab sebagai suami atau isteri, pasti kadar perceraian di Malaysia semakin berkurang bukan meningkat. Oleh yang demikian, sekiranya anda mempunyai calon pasangan yang dikenali melalui orang tengah, suarakan pertanyaan berkenaan tanggungjawab suami dan isteri dalam sebuah perkahwinan sebelum anda menerima lamaran mereka.

Mempersiapkan diri untuk memasuki gerbang perkahwinan adalah suatu seni yang perlu dipelajari dan diamati oleh anda yang masih bujang. Jangan perjudikan perkahwinan anda untuk orang yang anda tidak betul-betul kenali atau tidak jelas sikap serta sifatnya. Manusia mudah jatuh cinta pada rupa paras, pangkat, dan harta yang ditayangkan, tetapi kita tidak hanya hidup berpasangan dengan hanya rupa paras yang cantik, pangkat yang tinggi dan harta yang banyak kerana hakikatnya akhlak atau sifat yang baiklah menghangatkan percintaan dalam rumah tangga.


Maryam Azalan adalah penulis di bawah program Headliner oleh Newswav, sebuah program di mana pencipta kandungan dapat menceritakan kisah unik mereka melalui artikel, pada masa yang sama menjana pendapatan melalui kandungan mereka dalam aplikasi Newswav.
Sila daftar di headliner.newswav.com untuk menjadi penulis kami sekarang!

*Kandungan di atas hanya mewakili pandangan penulis sendiri. Sekiranya anda mempunyai pertanyaan mengenai kandungan karya, hak cipta atau masalah lain, sila hubungi Newswav.

Maryam Azalan
Author: Maryam Azalan

A freelance content creator and blogger at tangangebu27.blogspot.com