Kalsium Hanya untuk Kekuatan Tulang? Ketahui Fakta Menarik Kalsium Pada Tubuh Badan

Kepentingan kalsium untuk kekuatan tulang telah pun diyakini tanpa disangkal lagi. Setiap iklan jenama produk tenusu pasti tidak ketinggalan memfokuskan kepentingan susu sebagai sumber kalsium untuk kekuatan tulang dan gigi. Tahukah anda selain penting untuk tumbesaran tulang, kalsium mempunyai lebih banyak kebaikan pada tubuh badan? Kalsium berperanan untuk memastikan fungsi normal otot, saluran darah, dan saraf badan. Sebahagian kecil sumber kalsium yang diambil akan dilarutkan sebagai cecair di dalam dan luar sel tubuh dan kuantiti terlalu sedikit atau melebihi keperluan akan memberi kesan buruk pada sel justeru sistem badan kita secara teliti boleh mengawal paras kalsium dalam darah.

Photo by NastyaSensei from Pexels

Kekurangan kalsium dalam tubuh boleh menyebabkan beberapa kesan buruk kepada kesihatan. Pengambilan makanan yang mengandungi kuantiti kalsium yang mencukupi perlu diamalkan supaya menepati keperluan tubuh seperti produk tenusu, sayuran berdaun hijau, makanan laut, kekacang, dan juga makanan yang mempunyai tambahan kalsium. Antara kesan kekurangan kalsium dalam tubuh badan adalah kerapuhan tulang kerana penurunan kalsium yang tersimpan dalam tulang. Tanpa rawatan, kekurangan kalsium ini boleh menyebabkan komplikasi kesihatan seperti osteoporosis, tekanan darah tinggi, dan juga gangguan aritmia jantung seterusnya menganggu kualiti hidup seseorang. Kekurangan pengambilan kalsium pada wanita mengandung pula boleh merencatkan pertumbuhan janin.

Tambahan lagi, kalsium merupakan elemen kelima terbanyak dalam tubuh badan manusia. Beberapa tanda kekurangan kalsium boleh dikesan dengan melihat beberapa simptom ini yang biasanya mulai ketara pada orang dewasa berusia antara 30 hingga 40 tahun. Simptom pertama adalah kekejangan otot termasuklah rasa kebas dan kesemutan (numbness and tingling) pada bahagian lengan dan betis. Kekejangan otot terutamanya pada bahagian kaki ini biasanya berlaku pada waktu malam ketika tidur. Selain itu, kulit kering dan kerapuhan kuku (kuku mudah patah) juga merupakan antara tanda awal kepada masalah kekurangan kalsium. Tanda kekurangan kalsium pada wanita pula boleh dilihat apabila berlaku peningkatan simptom pra-menstrual (PMS) seperti kekejangan bahagian ari-ari yang lebih kuat atau lama sewaktu haid (period). Ini kerana jika kuantiti kalsium yang tidak mencukupi dalam badan akan menyebabkan rembesan hormon estrogen berkurangan.

Kehadiran kalsium diperlukan untuk mengawal tekanan darah, regangan otot, serta fungsi saraf dan hormon. Kalsium adalah struktur primer (yang pertama) terdapat dalam rangka serta ianya terdapat hampir di setiap tisu lembut yang melibatkan aktiviti neuro-otot, enzimatik, hormon, dan aktiviti metabolik yang lain. Penyerapan kalsium bergantung kepada kadar keperluan tubuh, jenis makanan yang diambil, dan amaun kalsium yang ada dalam makanan. Selain itu, vitamin D yang diambil dalam diet atau pendedahan kepada sinaran ultraviolet dari cahaya matahari dalam membantu meningkatkan penyerapan kalsium. Pertambahan usia seiring dengan masa akan mengurangkan penyerapan kalsium pada lelaki dan juga perempuan.

Photo by Karolina Grabowska from Pexels

Cadangan pengambilan kalsium setiap hari adalah sebanyak 2,500 milligram untuk orang dewasa berumur 19 hingga 50 tahun atau bersamaan tiga cawan susu. Walau bagaimanapun, kuantiti kalsium dalam makanan lain juga turut terdapat dalam kuantiti yang banyak seperti yogurt, ikan sardin, keju, dan juga bijirin sarapan.

Secara kesimpulannya, pengambilan kalsium yang mencukupi harus dipastikan bermula dari kecil lagi sebagai langkah untuk mengelakkan masalah kerapuhan tulang ketika dewasa. Oleh kerana kekurangan kalsium dalam kalangan wanita berkait rapat dengan masalah PMS, pengambilan kalsium amat penting diamalkan dan dijaga ketika datang bulan. Simptom PMS termasuklah kenaikan berat badan, edema, mastalgia, sakit kepala, serta meningkatkan masalah psikologi seperti kemurungan dan kegelisahan. Walaupun perkaitan masalah PMS dengan kekurangan kalsium masih memerlukan kajian lebih mendalam, simptom PMS terbukti dapat dikurangkan dengan pengambilan kalsium secara teratur dapat meredakan simptom yang mengganggu kualiti hidup wanita dewasa. Anda disarankan untuk mengambil makanan yang mengandungi kalsium mengikut keperluan harian anda agar penyakit yang berpunca daripada kekurangan mineral ini dapat diatasi dan dikurangkan.


Maryam Azalan adalah penulis di bawah program Headliner oleh Newswav, sebuah program di mana pencipta kandungan dapat menceritakan kisah unik mereka melalui artikel, pada masa yang sama menjana pendapatan melalui kandungan mereka dalam aplikasi Newswav.
Sila daftar di headliner.newswav.com untuk menjadi penulis kami sekarang!

*Kandungan di atas hanya mewakili pandangan penulis sendiri. Sekiranya anda mempunyai pertanyaan mengenai kandungan karya, hak cipta atau masalah lain, sila hubungi Newswav.

Maryam Azalan
Author: Maryam Azalan

A freelance content creator and blogger at tangangebu27.blogspot.com