Kesan Kopi Pada Prestasi Pelajaran Dan Memori

Pengambilan kopi kini menjadi gaya hidup harian yang diamalkan oleh beberapa peringkat umur termasuklah pelajar di usia remaja. Kopi biasanya menjadi ‘pemula hari’ bagi sesetengah orang sebagai perangsang semulajadi untuk kekal terjaga (tidak mengantuk) tidak kira pada waktu pagi, tengah hari mahupun malam. Kafien tidak hanya terkandung dalam kopi tetapi juga teh dan koko, akan diserap dengan cepat melalui usus terus ke dalam saluran darah. Kafein juga mampu merangsang sistem saraf tunjang yang boleh meningkatkan metabolisma tubuh dan pembakaran lemak serta meningkatkan prestasi senaman. Kafein mempunyai banyak kebaikan kepada kesihatan yang lain, tetapi kesan kepada prestasi memori seseorang belum mempunyai dapatan yang konsisten dan selari.

Sumber: Photo oleh Thought Catalog dari Pexels

Amalan minum kopi memberi kesan yang berbeza mengikut individu sama ada memberi kesan positif atau negatif pada kesihatan ingatan seseorang. Kajian dari Universiti John Hopkins melaporkan kafein boleh membantu menguatkan daya ingatan dalam jangka masa yang panjang. Ini kerana kajian mereka mendapati peserta yang mendapat pil kafein sebanyak 200mg sehari dapat membezakan dengan lebih baik beberapa siri imej yang mempunyai ciri-ciri persamaan antara satu sama lain pada keesokan harinya. Secara khususnya, peserta yang mengambil kafein didapati mempunyai tahap ingatan memori yang lebih mendalam kerana mereka dapat mengenalpasti perbezaan kecil dua item yang serupa tetapi tidak sama. Saintis berpendapat kafein memainkan peranan penting dalam membantu fungsi otak terutama sekali keupayaan mengingat.

Tambahan lagi, kafein juga diklasifikasikan sebagai minuman kesihatan yang boleh memanjangkan jangka hayat manusia kerana fungsinya yang memberi kesan perlindungan kognitif daripada penyakit nyanyuk (Alzheimer). Walaupun kesan positif kepada memori individu dapat dilihat, ianya hanya melibatkan memori jangka pendek. Namun, kesan dan perkaitannya kepada memori jangka panjang masih memerlukan kajian lebih lanjut. Waktu dan cara pengambilan kafein juga memainkan peranan dalam keberkesanannya pada memori setiap individu. Kajian oleh Sherman dan rakan-rakan pada tahun 2016 mendapati bahawa pengambilan minuman berkafein dalam kalangan pelajar universiti tidak memberi kesan yang signifikan dalam prestasi memori pada waktu tengah hari. Tetapi pengambilan kafein pada awal pagi boleh membantu menguatkan ingatan pada tahap optimum dan ianya boleh membantu pelajar yang perlu menduduki peperiksaan pada waktu pagi.

Dapatan kajian yang berlawanan dijumpai oleh peserta dewasa yang berusia 60 dan ke atas. Kajian oleh Lee Ryan dan kumpulannya mendapati, pengambilan kafein memberi kesan buruk kepada prestasi seseorang kerana individu di bawah pengaruh kafein cenderung untuk keliru dan mengingati fakta yang salah justeru merangsang fungsi otak untuk menyimpan informasi yang tidak tepat. Oleh kerana tahap memori dipengaruhi oleh faktor usia, pengambilan kafein dicadangkan untuk mengurangkan masalah mengingat dalam kumpulan warga emas. Walau bagaimanapun, kafein didapati tidak dapat membantu dalam prestasi memori mereka berbanding kumpulan belia. Saintis memberi konklusi tersebut kepada tahap efektif kafein dalam memori individu berusia 60 ke atas kerana pengambilan kafein akan menganggu waktu tidur serta menyebabkan ketagihan yang akhirnya mengganggu fungsi memori.

Sumber: Brigitte Tohm dari Pexels

Pengambilan kafein turut mempunyai kebaikan kepada kesihatan selain meningkatkan fungsi daya ingatan. Tahap kafein paling banyak didapati adalah di dalam kopi dan teh menjadikan minuman tersebut bukan hanya untuk tahan mengantuk, tetapi juga sebagai minuman yang menjadi trend serta dinikmati oleh semua peringkat umur bermula dari remaja. Amalan minum dua hingga empat cawan kopi sehari dicadangkan dapat membantu dalam kesihatan psikologi seseorang serta mengurangkan risiko penyakit hati.

Harus diingatkan, pengambilan minuman berkafein yang mengandungi kandungan gula atau kalori yang tinggi tidak digalakkan kepada individu yang mempunyai masalah kencing manis. Pilih kopi atau teh yang kurang gula atau tanpa gula untuk menjaga paras gula dalam darah.


Maryam Azalan adalah penulis di bawah program Headliner oleh Newswav, sebuah program di mana pencipta kandungan dapat menceritakan kisah unik mereka melalui artikel, pada masa yang sama menjana pendapatan melalui kandungan mereka dalam aplikasi Newswav.
Sila daftar di headliner.newswav.com untuk menjadi penulis kami sekarang!

*Kandungan di atas hanya mewakili pandangan penulis sendiri. Sekiranya anda mempunyai pertanyaan mengenai kandungan karya, hak cipta atau masalah lain, sila hubungi Newswav.

Maryam Azalan
Author: Maryam Azalan

Full-time postgraduate student, writer and content creator.