Ketagihan porno: Mengapa perkahwinan bukan jalan penyelesaiannya?

Ketagihan porno memberi kesan buruk kepada emosi, spiritual dan fizikal akibat daripada tingkah laku kompulsif apabila seseorang tidak dapat mengawal diri dengan menonton video adegan-adegan seks sebagai cara melempiaskan keinginan syahwatnya. Malangnya, video porno kini lebih mudah diakses di laman web dari seluruh dunia tanpa batasan umur menjadi halangan kepada penagih pornografi untuk merawat ketagihan. Pornografi ditegah bukan hanya kerana agama Islam melarangnya tetapi kerana risiko dan bahaya besar yang mempengaruhi kualiti hidup. Amaran tentang kesan buruk secara psikologi apabila menonton pornografi juga tidak mengurangkan masalah ketagihan ini daripada berlarutan kerana ianya boleh dilakukan secara tersembunyi. Sesetengah kelompok berpendapat, perkahwinan boleh menyelesaikan masalah ketagihan pornografi kerana kebebasan untuk memenuhi keperluan syahwat boleh mengekang ketagihan terhadap video porno.

Menurut laporan laman web The Smart Local pada Mac 2020, Malaysia berada di kedudukan keempat jumlah carian pornografi tertinggi dari seluruh dunia di laman web ‘Pornhub’. Walaupun pelbagai pendapat tentang kebaikan dan keburukan menonton porno sama ada ianya boleh membantu pasangan dalam aktiviti seks mereka atau meningkatkan risiko kegagalan fungsi ereksi pada lelaki, majoriti bersetuju bahawa keburukan porno lebih besar berbanding kebaikan tidak kira kepada penagih dan juga kepada pasangannya. Permulaan menonton pornografi adalah berpunca daripada rasa ingin tahu, dipengaruhi oleh orang yang rapat (seperti pasangan kekasih dan rakan-rakan) atau kerana trauma secara seksual yang pernah dialami. The Recovery Village menerangkan beberapa kesan buruk ketagihan pornografi secara kesihatan fizikal dan psikologi. Kesan buruk ketagihan porno kepada individu ialah anda akan mula meninggalkan hobi yang disukai kerana pornografi dijadikan perkara penting dalam hidup dan mengabaikan penjagaan diri. Selain itu, Rubén dan rakan-rakan dalam kajian sistematik mereka mendapati individu yang mengalami ketagihan video porno biasanya akan bertarung juga dengan masalah ketagihan alkohol, kemurungan dan kegelisahan.

Photo by Alex Green from Pexels

Tambahan lagi, terdapat juga kesan negatif kepada pasangan apabila seseorang menghadapi ketagihan ini. Pertama, pasangan suami atau isteri pasti akan mengetahui tentang ketagihan anda dan mereka akan merasa tidak yakin (insecure) dengan diri sendiri serta membandingkan diri mereka dengan pelakon dalam video porno tersebut. Pelbagai persoalan seperti: Adakah aku tidak cukup menarik dan tidak bagus? Atau merasa ragu sama ada anda membayangkan adegan-adegan seks yang ditonton itu berbanding menikmati masa ketika bersama mereka. Selain itu, pasangan akan merasa diri dicurangi oleh anda kerana ketagihan menjadikan anda rendah nafsu seks dan ianya akan mengurangkan kepercayaan dan kualiti hubungan suami isteri. Selepas perkahwinan, penagih pornografi sudah menanam dalam minda satu standard bahawa aksi dalam video harus sama seperti yang dilakukan. Hakikatnya, industri pornografi adalah seperti drama dan filem yang tidak mempamerkan situasi sebenar.

Secara saintifiknya, penggunaan pornografi yang berlebihan mendorong rembesan dopamin yang berlebihan secara berterusan. Dopamin adalah sejenis hormon yang terhasil dari otak yang memberi rasa seronok (feel good). Apabila seseorang kerap menonton pornografi dalam masa yang panjang, rembesan dopamin boleh meningkatkan keinginan diri untuk menonton video tersebut lebih lama. Masalah ketagihan porno ini boleh dirawat dengan mendapatkan terapi spiritual dari kaunseling. Selain itu, keinginan dan keazaman mesti ada untuk merawat diri serta dorongan pasangan juga amat penting dalam proses penyembuhan. Ketagihan porno sangat berkait rapat dengan kesihatan mental yang menjejaskan diri, pasangan dan juga kepada masyarakat. Sekiranya anda mendapati diri atau orang terdekat anda menghadapi masalah ketagihan ini, anda boleh dapatkan khidmat nasihat dengan kaunselor. Tidak kira agama yang dianuti mahupun jantina, masalah obsesi dengan bahan pornografi ini boleh dirawat walaupun mengambil masa.


Maryam Azalan adalah penulis di bawah program Headliner oleh Newswav, sebuah program di mana pencipta kandungan dapat menceritakan kisah unik mereka melalui artikel, pada masa yang sama menjana pendapatan melalui kandungan mereka dalam aplikasi Newswav.
Sila daftar di headliner.newswav.com untuk menjadi penulis kami sekarang!

*Kandungan di atas hanya mewakili pandangan penulis sendiri. Sekiranya anda mempunyai pertanyaan mengenai kandungan karya, hak cipta atau masalah lain, sila hubungi Newswav.

Maryam Azalan
Author: Maryam Azalan

A freelance content creator and blogger at tangangebu27.blogspot.com