Ketahui Fakta Tentang Sulam Bedak, Tatu Foundation, atau Permanent Makeup

Menurut sejarah, Ratu Elizabeth I pada abad ke-16 menggunakan krim yang mengandungi raksa (mercury) kerana pada ketika itu kulit yang licin seperti porcelin melambangkan status kebangsawanan dan kesempurnaan seseorang. Keinginan kepada kecantikan ini menjadi satu kegilaan tidak kira status ekonomi kerana terlalu taksub dengan standard yang dimomokkan oleh media massa. Kulit wajah yang bersih, putih, gebu, tanpa kesan jerawat mahupun lubang-lubang parut sentiasa menjadi idaman setiap wanita kerana kecantikan itu menjadi perkara pertama yang menjadi tarikan bagi seseorang. Trend sulam bedak mula dipopularkan dari Korea apabila pengeluar produk kecantikan mempromosikan sulam bedak, ‘facial embroidery‘ atau nama lainnya ‘semi-permanent makeup‘ yang dapat memberi efek kulit tanpa cela seolah-olah memakai makeup.

Sebelum sulam bedak menjadi pilihan ramai wanita, amalan mentatu kening (brow embroidery) sudah terlebih dahulu menjadi trend sejak tahun 1980. Sulam kening ini memberi kesan yang boleh bertahan lama tanpa perlu melukis kening agar bentuk kening tampak lebih jelas serta tidak perlu dicuci menggunakan penghapus solekan (makeup remover). Secara teorinya, sulam bedak sama seperti sulam kening tetapi ianya didatangkan dengan pelbagai pilihan warna mengikut tona kulit. Dakwat berwarna akan ditanam pada bawah lapisan kulit yang biasanya proses tersebut dipanggil pigmentasi mikro (micropigmentation) yang akan memberi kesan kekal atau sehingga dua tahun kepada wajah anda tanpa perlu menggunakan foundation. Selain sulam kening dan sulam bedak, antara jenis facial embroidery yang lain adalah permanent eyeliner, lip liner (bibir yang merah tanpa olesan gincu), serta sulam pemerah pipi (blusher).

Seandainya anda sedang berkira-kira untuk mendapatkan sulam bedak, penting untuk anda selidik sama ada ianya selamat untuk kesihatan kulit mahupun kebersihannya. FDA (US Food and Drugs Association) dan juga NPRA (National Pharmaceutical Regulatory Agency) belum pernah memberi pengiktirafan untuk sebarang produk cecair sulam bedak yang terdapat di pasaran. Justeru, sebarang rawatan yang dibuat untuk tujuan sulam bedak tidak dijamin keselamatannya. Terdapat beberapa kesan sampingan atau risiko kepada kesihatan yang berkemungkinan dialami oleh si pemakai sulam bedak ini. Antaranya ialah bengkak, kesan lebam mahupun inflamasi pada bahagian kulit individu yang menerima rawatan ini boleh berlaku kerana penggunaan dermapen yang mempunyai microneedle yang melukakan lapisan kulit. Kebiasaannya, kesakitan tidak dirasa semasa rawatan kerana krim bius disapu untuk mengelakkan rasa sakit tetapi setelah kesan bius habis bengkak pada kulit wajah boleh terjadi.

Selain itu, rawatan sulam bedak ini dibuat oleh beautician yang tidak bertauliah dan hanya melakukan rawatan mengikut buku manual tanpa mengetahui kesan buruk atau risiko yang terdedah kepada individu berlainan jenis kulit. Jenis cecair pewarna kulit yang digunakan juga tidak diketahui sumbernya sama ada ianya selamat atau anda mempunyai kesan alergik terhadapnya atau tidak mahupun status halal kandungannya. Apabila sulam bedak dibuat, bahan kimia yang diserap ke dalam kulit akan melibatkan seluruh kawasan muka. Selain risiko penggunaan warna cecair sulam bedak yang tidak menepati tona kulit anda, sebarang kesan alergik yang berlaku amat berbahaya kerana ianya melibatkan bahagian kulit yang luas dan kesukaran untuk mengeluarkan bahan kimia yang dimasukkan. Rawatan ini tidak cukup sekali temujanji sahaja kerana untuk memberi impak yang maksimum pada kulit, anda perlu menerima beberapa kali rawatan sulam bedak ini selepas satu bulan dan selepas tiga bulan dari rawatan pertama.

Risiko sulam bedak yang lain kepada kesihatan ialah jangkitan kuman pada kulit. Penyedia perkhidmatan sulam bedak ini perlu memastikan keselamatan dan kebersihan peralatan terutama sekali dermapen yang digunakan. Anda berisiko kepada cross-contamination terhadap penyakit berjangkit seperi HIV apabila penggunaan dermapen yang diguna semula tanpa disteril dengan sempurna.

Secara kesimpulannya, rawatan sulam bedak mempunyai risiko yang tidak diketahui dengan jelas walaupun ianya trend yang menjadi kegilaan para wanita. Terdapat pelbagai alternatif yang lain untuk mendapatkan kulit wajah yang diidamkan dengan menggunakan rawatan pakar dermatologi yang lebih selamat dan dijamin.


Maryam Azalan adalah penulis di bawah program Headliner oleh Newswav, sebuah program di mana pencipta kandungan dapat menceritakan kisah unik mereka melalui artikel, pada masa yang sama menjana pendapatan melalui kandungan mereka dalam aplikasi Newswav.
Sila daftar di headliner.newswav.com untuk menjadi penulis kami sekarang!

*Kandungan di atas hanya mewakili pandangan penulis sendiri. Sekiranya anda mempunyai pertanyaan mengenai kandungan karya, hak cipta atau masalah lain, sila hubungi Newswav.

Maryam Azalan
Author: Maryam Azalan

A freelance content creator and blogger at tangangebu27.blogspot.com