Obesiti dalam kanak-kanak: Di mana silapnya?

Masalah kegemukan menjadi punca utama kepada pelbagai penyakit tidak berjangkit seperti diabetes, hipertensi, hiperkolesterol atau penyakit jantung dan lain-lain penyakit kronik. Masalah obesiti ini juga telah meningkat sebanyak dua kali ganda dalam lebih 70 buah negara di seluruh dunia sejak tahun 1980. Pada tahun 2015, dianggarkan seramai lebih 600 juta orang dewasa dan lebih 100 juta kanak-kanak di seluruh dunia menghadapi masalah berat badan. Di Malaysia, peratus obesiti dalam kalangan kanak-kanak berusia bawah 18 tahun meningkat dua kali ganda (6.1% kepada 11.9%) dalam tempoh hanya empat tahun (2011 hingga 2015). Kadar obesiti kanak-kanak di Malaysia semakin meningkat hingga ke hari ini. Lebih membimbangkan lagi, kebanyakan negara mengalami masalah obesiti dalam kumpulan kanak-kanak melebihi kadar obesiti yang berlaku dalam kalangan orang dewasa.

Sumber: Photo by Larm Rmah on Unsplash

Tabiat pemakanan adalah punca utama yang mendorong kepada berlakunya masalah obesiti dalam kumpulan remaja dan kanak-kanak. Walau bagaimanapun, mengatasi masalah obesiti dalam kalangan kanak-kanak merupakan isu kesihatan awam yang perlu meliputi perancangan teliti dalam beberapa lapisan pelaksana termasuklah wakil kerajaan, kumpulan pakar pemakanan, institusi kajian obesiti, serta pihak industri yang berperanan dalam mempromosikan pemakanan sihat serta aktiviti fizikal yang bersesuaian. Usaha kerajaan dalam menangani isu kegemukan ini adalah kerana berdasarkan data Tinjauan Kebangsaan Kesihatan Malaysia (NHMS) pada tahun 2015, seramai 1.65 juta pelajar sekolah di Malaysia dianggarkan akan mempunyai masalah berat badan berlebihan atau obes menjelang tahun 2025.

Sumber: Aditya Bose dari Pexels

Untuk mengetahui paras obesiti dalam setiap kanak-kanak adalah melalui pengiraan Body Mass Index (BMI) mengikut tahap umur masing-masing. Organisasi Kesihatan Antarabangsa (WHO) masalah obesiti individu di bawah usia 18 tahun akan menjadi punca kematian pramatang serta kecacatan apabila meningkat usia dewasa. Penyakit kronik utama yang berisiko dihadapi adalah kencing manis, darah tinggi serta masalah kerosakan hati. Obesiti pada kanak-kanak juga menjadi punca kepada sleep apnea iaitu gangguan tidur yang tidak lena dan sindrom hypoventilasi. Kajian mendapati, lebih separuh daripada kanak-kanak yang mempunyai masalah berat badan turut mempunyai masalah sleep apnea di mana gangguan saluran pernafasan yang menyebabkan pengurangan oksigen dalam darah semasa tidur. Gangguan tidur ini dikesan dengan dengkuran, gangguan saluran pernafasan atas separa berulang atau sepenuhnya. Kesan kepada masalah ini adalah masalah mengantuk pada siang hari yang berterusan, kadar kualiti hidup yang menurun, mengganggu fungsi neurokognitif serta masalah kardiovaskular.

Oleh itu, ibu bapa adalah kunci pertama dalam menangani masalah kegemukan dalam kalangan kanak-kanak. Mereka mempunyai peranan yang penting untuk menyedari kepentingan pemakanan yang seimbang bersesuaian mengikut umur dan jantina anak-anak. Tambahan lagi, ibu bapa juga perlu mengetahui nutrisi yang utama diperlukan oleh kanak-kanak untuk tumbesaran yang optima serta aktiviti fizikal yang sesuai dan selamat. Walau bagaimanapun, kanak-kanak tersebut juga mestilah menjadi peserta aktif untuk mengawal berat badan mereka.

Pakar pemakanan dari Universiti Malaya, Puan Rozanna menasihatkan agar kanak-kanak perlu diberi kefahaman tentang porsi makanan untuk hidangan utama serta snek dan mengapa mereka perlu mengetahui porsi tambahan atau kalori berlebihan memberi kesan yang buruk kepada kesihatan. Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mempromosikan amalan suku-suku separuh dalam setiap hidangan utama termasuklah sarapan pagi, makan tengah hari, dan makan malam. ‘Suku-suku separuh’ bermaksud satu suku pertama dalam pinggan mestilah diambil dari kumpulan makanan berkarbohidrat dan suku kedua pinggan adalah sumber dari kumpulan berprotin. Manakala, separuh bahagian pinggan perlu dipilih daripada kumpulan fiber iaitu sayur-sayuran serta buah-buahan.

Selain itu, kerajaan juga berperanan untuk menguatkuasakan hidangan yang dijual di kantin-kantin sekolah di samping undang-undang yang lain. Sebagai contoh, polisi kerajaan yang mesti ditepati oleh pengusaha kantin dengan mengurangkan minuman tinggi kandungan gula daripada dijual di sekolah. Jenis-jenis menu yang dihidangkan juga mestilah seimbang dan ditegah daripada menjual hidangan menu tinggi lemak dan garam. Mewujudkan subjek khusus pendidikan jasmani yang telah lama dilaksanakan amat berguna sebagai medium untuk memberi kesedaran tentang kepentingan aktiviti fizikal. Bagi peringkat syarikat pengeluar makanan pula, kerajaan juga harus meningkatkan galakan bagi pengeluar untuk menghasilkan produk makanan yang lebih sihat, rendah gula, rendah garam atau tanpa kolesterol. Kesedaran untuk menjaga kesihatan adalah laluan utama untuk ibu bapa dan kanak-kanak dalam menangani isu obsesiti sedia ada di Malaysia.

Kesimpulannya, untuk menangani isu kegemukan kanak-kanak di Malaysia mestilah meliputi peranan kerajaan, masyarakat, keluarga dan juga individu dari segenap kelompok. Oleh itu, setiap individu mestilah berganding bahu bersama-sama memainkan peranan untuk memperbaiki kualiti hidup kanak-kanak obes agar masalah kesihatan dalam diminimumkan.


Maryam Azalan adalah penulis di bawah program Headliner oleh Newswav, sebuah program di mana pencipta kandungan dapat menceritakan kisah unik mereka melalui artikel, pada masa yang sama menjana pendapatan melalui kandungan mereka dalam aplikasi Newswav.
Sila daftar di headliner.newswav.com untuk menjadi penulis kami sekarang!

*Kandungan di atas hanya mewakili pandangan penulis sendiri. Sekiranya anda mempunyai pertanyaan mengenai kandungan karya, hak cipta atau masalah lain, sila hubungi Newswav.

Maryam Azalan
Author: Maryam Azalan

BSc Food Nutrition, MSc Immunology. PhD student in Biomedicine (Cancer Bio)