PCOS: Masalah kesuburan wanita yang sering lambat dikesan. Ketahui dua cara penjagaan tubuh untuk mengawalnya

PCOS adalah singkatan bagi Polycystic Ovarian Syndrome iaitu masalah kesuburan di mana ovari seorang perempuan menghasilkan lebih banyak hormon androgen sejenis hormon lelaki yang biasanya dikesan dalam kuantiti yang sedikit. Penghasilan hormon ini yang melebihi paras normal dalam wanita akan meningkatkan ciri-ciri kelelakian seperti kenaikan berat badan terutamanya sekitar perut, pertumbuhan bulu badan, jerawat yang lebih banyak dan rambut gugur (botak). Sindrom PCOS ini dikesan melalui kehadiran banyak sista kecil (kantung yang berisi cecair) yang terkumpul di ovari. Pengumpulan sista ini adalah kerana telur yang sepatutnya dikeluarkan setiap kali kitaran ovulasi (tempoh haid) tidak berlaku akibat lebihan hormon androgen atau kekurangan hormon estrogen menyebabkan telur tidak dapat matang. Apabila telur yang tidak matang tidak keluar dari ovari, ovulasi tidak berlaku menyebabkan masalah kitaran haid yang tidak teratur.

Photo by Philip Ackermann from Pexels

Kajian oleh Sareh Dashti dan kumpulan beliau pada tahun 2019 mendapati satu dalam sepuluh wanita pada usia mampu melahirkan anak (diantara 19 hingga 34 tahun) mempunyai masalah PCOS dengan etnik Cina dan India lebih ramai berbanding Melayu. Antara simptom PCOS ialah ketumbuhan bulu berlebihan (hirutisma), jerawat dan masalah keguguran rambut (alopecia). Ianya boleh dikesan dengan ujian paras hormon dalam darah untuk menyelidik paras hormon seperti testosteron, fungsi tiroid dan juga semakan pelvis dan ultrasound. Selain masalah kemandulan yang dialami disebabkan PCOS, ia juga menyumbang kepada komplikasi metabolik dan fisiologi dalam jangka masa panjang. Wanita yang mempunyai PCOS berisiko untuk mendapat penyakit kencing manis, darah tinggi dan hiperkolesterolemia lebih awal berbanding wanita yang tiada masalah tersebut. Walaupun masalah kesuburan amat berkait rapat dengan PCOS, ianya tidak menutup peluang 100% untuk wanita dengan PCOS mengandung dan melahirkan anak.

Rawatan kesuburan boleh diambil di klinik-klinik Ginekologi dengan rawatan hormon dan perubahan gaya hidup. Saintis telah menyelidik punca berlakunya PCOS, tetapi penyebab yang jelas masih belum disahkan. Akan tetapi, kajian mendapati penghidap PCOS biasanya mempunyai masalah rintangan insulin iaitu tubuh badan tidak menggunakan insulin dengan baik menyebabkan pengumpulan insulin yang lebih tinggi dalam badan mendorong penghasilan hormon androgen yang lebih banyak. Selain itu, obesiti juga menyebabkan simptom PCOS lebih teruk berlaku serta terdapat juga kemungkinan PCOS mempunyai perkaitan dengan genetik dimana ahli keluarga yang mempunyai PCOS akan meningkatkan risiko anda mengalami PCOS. Kesan PCOS memberi risiko kepada wanita yang mengandung seperti risiko keguguran bayi dan juga komplikasi kesihatan ketika mengandung.

Sumber: Laman Web Kementerian Kesihatan Malaysia

Rujukan kepada pakar untuk merawat PCOS amat penting bagi kesihatan sepanjang hidup. Doktor akan mencadangkan anda melakukan perubahan pada pemakanan dan aktiviti fizikal. Diet yang sihat serta senaman boleh membantu untuk penurunan berat badan, mengurangkan simptom PCOS dan juga membantu tubuh badan menggunakan insulin secara lebih efisien. Pengurangan pengambilan karbohidrat dicadangkan dengan menukar kepada sumber karbohidrat yang tinggi fiber atau rendah indeks glisemik untuk mengawal paras insulin dalam darah. Pelbagaikan pilihan makanan dengan berpandukan MyPlate iaitu suku-suku-separuh (Karbohidrat-protein-buah-buahan dan sayur-sayuran). Kawal pengambilan gula terutamanya dalam minuman dan elakkan pengambilan makanan terproses berlebihan seperti sosej dan burger. Selain itu, pengambilan sumber protein juga amat penting kerana protein membantu untuk menstabilkan paras gula dan memberikan rasa kenyang.

Bagi amalan senaman pula, aktiviti fizikal sederhana boleh dilakukan mengikut jenis sukan yang diminati. Senaman bukan hanya untuk menurunkan berat badan tetapi juga membantu meningkatkan metabolisma tubuh. Bersenam selama 30 minit setiap sesi tiga hingga lima kali seminggu membantu mengurangkan risiko penyakit jantung serta meningkatkan kesihatan mental. Antara contoh untuk kekal aktif setiap hari adalah meletak kereta sedikit jauh dari tempat kerja dan berjalan kaki, menaiki tangga berbanding menggunakan lif, melakukan kerja-kerja rumah atau berkebun. Senaman-senaman lain seperti berbasikal, berenang, menari, rope skipping, badminton, bermain bola sepak atau hiking. Tambahan lagi, sekiranya anda mahu meningkatkan kekuatan otot (muscle mass), senaman regangan (stretching), push up, leg press, atau mengangkat berat (weight lifting) boleh dilakukan. Ubat-ubatan juga digunakan untuk membantu kitaran ovulasi lebih teratur. Sokongan secara psikologi juga perlu kerana sindrom PCOS cenderung memberi kesan rendah keyakinan diri dan keresahan (anxiety) kepada penghidapnya.


Maryam Azalan adalah penulis di bawah program Headliner oleh Newswav, sebuah program di mana pencipta kandungan dapat menceritakan kisah unik mereka melalui artikel, pada masa yang sama menjana pendapatan melalui kandungan mereka dalam aplikasi Newswav.
Sila daftar di headliner.newswav.com untuk menjadi penulis kami sekarang!

*Kandungan di atas hanya mewakili pandangan penulis sendiri. Sekiranya anda mempunyai pertanyaan mengenai kandungan karya, hak cipta atau masalah lain, sila hubungi Newswav.

Maryam Azalan
Author: Maryam Azalan

A freelance content creator and blogger at tangangebu27.blogspot.com