Pelajar: Bagaimana Ginkgo Biloba Membantu Kuatkan Ingatan?

Ginkgo Biloba adalah pokok yang dipercayai hidup sejak zaman kuno berjuta tahun yang lalu. Pokok berdahan keras dengan daun berbentuk kipas boleh tumbuh tinggi sehingga 35 meter dan boleh bertahan hidup dalam tempoh yang lama. Asal usul pohon Ginkgo Biloba adalah dari negara China, Jepun, dan Korea yang telah digunakan oleh orang tempatan sebagai makanan tambahan (supplement) yang mempunyai kesan terapeutik pada kesihatan. Setiap bahagian pohon meliputi daun, dahan, buah dan biji boleh dimanfaatkan untuk perubatan tradisional dan juga kulinari. Daun Ginkgo Biloba biasanya digunakan untuk tujuan kesihatan sama ada diproses dalam bentuk ekstrak cecair, kapsul atau tablet dan daun yang dikeringkan disajikan sebagai teh.

Terdapat banyak kelebihan Ginkgo Biloba yang boleh meningkatkan kualiti hidup jika diamalkan dalam diet harian. Ianya digunakan sebagai herba atau rempah yang boleh meningkatkan fungsi kognitif seperti melancarkan aliran darah ke otak dan juga bertindak sebagai anti-oksidan. Khasiat ginkgo lebih banyak memberi kebaikan kepada fungsi otak tetapi juga telah digunakan untuk pelbagai masalah kesihatan seperti melegakan sakit kaki berpunca daripada arteri tersumbat. Ia juga membantu mengurangkan simptom pre-menstrual (PMS) dan masalah glaukoma. Daun ginkgo juga diamalkan secara tradisional untuk melegakan jangkitan kuman pada pundi kencing serta meningkatkan tenaga seksual dan mengurangkan gejalan kencing malam (bed wetting).

Gambar oleh Nataliya Vaitkevich dari Pexels

Ginkgo Biloba dipasarkan dan dipopularkan sebagai herba tradisional yang membantu menambah baik fungsi otak terutama sekali pada pelajar. Kajian sains mendapati ginkgo dapat meningkatkan prestasi mental, fokus serta tempoh perhatian kepada suatu pelajaran serta menguatkan memori. Tambahan lagi, khasiat ginkgo telah dinilai dapat mengurangkan stress, ketakutan (anxiety) dan simptom-simptom lain yang berkaitan dengan penyakit Alzheimer. Ia juga dapat memperbaiki fungsi kognitif yang menurun oleh faktor penuaan. Secara kimianya, ginkgo memberi kebaikan tersebut kerana ianya memainkan peranan meningkatkan aliran darah ke bahagian otak justeru mengingkatkan prestasi otak.

Antara khasiat lain ginkgo dipercayai boleh merawat simptom depresi. Kajian pada kumpulan tikus makmal yang diberi supplements ginkgo didapati kurang mengalami tekanan emosi berbanding kumpulan tikus yang tidak mendapatkan ekstrak ginkgo. Kajian ini memberi konklusi bahawa ginkgo mempunyai sifat anti-inflamasi menjadikan ianya dapat membaik pulih kebolehan tubuh mengawal hormon stress apabila berada pada tahap tinggi. Walau bagaimanapun, depresi atau tekanan merupakan masalah mental yang kompleks yang melibatkan faktor yang pelbagai dan berlainan setiap individu.

Gambar oleh Nataliya Vaitkevich dari Pexels

Fungsinya yang efektif melancarkan peradaran darah menjadikan ianya ubatan tradisional masyarakat Cina dalam merawat pening kepala dan migraine. Sekiranya masalah sakit kepala berpunca daripada saluran pembuluh darah yang tidak lancar, ginkgo membantu dalam membesarkan (dilate) pembuluh darah justeru menambah baik pengaliran darah ke kepala.

Amalan pengambilan ginkgo dalam diet harian sebagai makanan tambahan perlu mendapatkan nasihat doktor kerana ianya mempunyai kesan sampingan yang berbeza mengikut individu walaupun pada skala yang kecil. Antara kesan sampingannya adalah rasa mual, cirit birit, sakit perut, pening kepala atau kesan alergi pada kulit. Kumpulan individu yang dilarang mengambil ginkgo biloba antaranya ibu mengandung atau menyusu, kanak-kanak, individu yang mempunyai masalah pendarahan, pesakit kencing manis, pesakit G6PD, sawan ataupun individu yang akan menerima rawatan surgeri. Ginkgo biasanya diambil dalam bentuk tablet tetapi, harus diingatkan pengeluar makanan tambahan berkemungkinan menggantikan ginkgo dengan bahan yang lebih murah seperti rutin dan quercetin. Kedua-dua bahan kima tersebut terkandung secara semulajadi dalam ginkgo tetapi berkemungkinan tidak memberikan kesan yang sama seperti ginkgo original.


Maryam Azalan adalah penulis di bawah program Headliner oleh Newswav, sebuah program di mana pencipta kandungan dapat menceritakan kisah unik mereka melalui artikel, pada masa yang sama menjana pendapatan melalui kandungan mereka dalam aplikasi Newswav.
Sila daftar di headliner.newswav.com untuk menjadi penulis kami sekarang!

*Kandungan di atas hanya mewakili pandangan penulis sendiri. Sekiranya anda mempunyai pertanyaan mengenai kandungan karya, hak cipta atau masalah lain, sila hubungi Newswav.

Maryam Azalan
Author: Maryam Azalan

Full-time postgraduate student, writer and content creator.