Persediaan Anak Anda Untuk Mendapatkan Vaksin COVID-19

Menteri Kesihatan Malaysia, Dato’ Khairy Jamaluddin telah mengumumkan bahawa kerajaan akan mula memberi vaksinasi COVID-19 kepada remaja berusia antara 12 hingga 17 tahun bermula pertengahan bulan September 2021. Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) akan memberi suntikan vaksinasi kepada remaja secara berperingkat-peringkat. Pihak kerajaan Malaysia juga telah mensasarkan 80% kanak-kanak dan remaja yang layak telah menerima dua dos suntikan vaksin sebelum sesi persekolahan dibuka pada tahun 2022. Statistik kenaikan kes positif COVID-19 dalam kalangan kanak-kanak dan remaja di Malaysia semakin membimbangkan dengan jumlah kematian pada tahun 2021 seramai 67 kanak-kanak berbanding 6 kematian pada tahun 2020. Program vaksinasi ini telah bermula pada 20 September 2021 baru-baru ini dengan harapan jumlah jangkitan kes COVID-19 dapat diminimakan seterusnya mengelakkan penularan wabak tersebut apabila sesi persekolahan bermula nanti.

Sebagai seorang dewasa, anda telah pun mengetahui tentang kesan virus COVID-19 kepada individu serta pengaruhnya kepada kesihatan global yang telah memberi impak kepada dunia. Anak anda bagaimanapun berkemungkinan masih belum mendapat gambaran penuh tentang COVID-19 dan di sinilah peranan anda sebagai ibu bapa memberi kesedaran awal tentang virus ini termasuk program vaksinasi yang mengikut tempoh masa tertentu. Pasti banyak perkara yang berlegar di fikiran mereka tentang proses vaksinasi sebelum, semasa dan selepas suntikan. Dalam artikel ini, beberapa langkah awal boleh dilakukan sebagai persediaan anak anda melalui PICK ini.

Sumber gambar dari Pexels oleh Karolina Grabowska

Langkah pertama adalah untuk memastikan tarikh vaksinasi anak anda diatur dengan baik kerana anak-anak dalam masa yang sama sedang melalui sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR). Seperti yang kita semua tahu, vaksin yang diterima memberikan kesan sampingan yang berbeza di antara individu. Walau bagaimanapun, kesan sampingan yang biasa dialami oleh orang dewasa adalah seperti demam, tubuh badan menggigil, pening kepala, sakit-sakit badan serta keletihan dalam masa beberapa hari selepas suntikan. Oleh itu, pilih tarikh vaksinasi yang boleh memberi ruang kepada anak anda untuk sembuh seandainya terdapat kesan sampingan yang dinyatakan tanpa mengganggu sesi PdPR atau percutian yang telah dirancang tidak lama lagi. Anda juga boleh mengelakkan aktiviti sukan atau riadah yang terlalu berat beberapa hari sebelum suntikan vaksinasi.

Tambah lagi, anak-anak mungkin akan merasa gementar sebelum suntikan COVID-19. Sebagai ibu bapa harus bersabar menghadapi rasa runsing yang diekspresi oleh anak. Pelbagai persoalan diutarakan oleh anak kerana rasa risau menghadapi proses vaksinasi dan biasanya remaja akan lebih suka mencari maklumat melalui online atau bertanya kepada rakan sebaya. Namun begitu, maklumat yang diperoleh dari laman sesawang boleh jadi tidak tepat atau mengelirukan boleh mencetus rasa takut pada anak-anak anda. Oleh itu, peranan ibu bapa penting untuk menenangkan anak supaya tidak terlalu khawatir terhadap proses vaksinasi kerana ibu bapa atau wakil akan berada bersama semasa proses tersebut.

Foto oleh Gustavo Fring dari Pexels

Akhir sekali, adalah penting untuk anda sebagai ibu bapa untuk mendapatkan nasihat ahli perubatan seandainya anak mempunyai masalah kesihatan, sejarah alergi, atau penyakit kronik sebelum mendapatkan vaksinasi. Untuk pengetahuan ibu bapa, hanya vaksin COVID-19 Comirnaty (Pfizer -BioNTech) sahaja yang telah disahkan selamat oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) untuk kegunaan individu berumur 12 tahun dan ke atas. Selain itu, ibu bapa perlu juga memaklumkan beberapa perkara penting kepada petugas kesihatan sebelum menerima suntikan vaksin seperti sejarah alahan yang teruk, mengalami masalah pendarahan seperti Hemophilia, sedang dalam rawatan ubatan pencair darah, sedang mendapatkan rawatan yang merendahkan sistem imun badan, atau mempunyai sejarah penyakit myocarditis dan pericarditis.


Maryam Azalan adalah penulis di bawah program Headliner oleh Newswav, sebuah program di mana pencipta kandungan dapat menceritakan kisah unik mereka melalui artikel, pada masa yang sama menjana pendapatan melalui kandungan mereka dalam aplikasi Newswav.
Sila daftar di headliner.newswav.com untuk menjadi penulis kami sekarang!

*Kandungan di atas hanya mewakili pandangan penulis sendiri. Sekiranya anda mempunyai pertanyaan mengenai kandungan karya, hak cipta atau masalah lain, sila hubungi Newswav.

Maryam Azalan
Author: Maryam Azalan

A freelance content creator and blogger at tangangebu27.blogspot.com