Salah Faham Tentang Vaksin dalam Masyarakat Islam di Malaysia

Ramai antara kita telah mengetahui fungsi dan kepentingan vaksin sebagai langkah mengelakkan penyakit berjangkit serta mengawal penularan wabak demi menjaga tahap kesihatan awam. Setiap jenis vaksin yang terdapat dalam pasaran yang disediakan oleh kerajaan telah pun melalui proses eksperimentasi yang panjang dari segi keselamatan dan tahap keberkesanan dalam melindungi tubuh daripada jangkitan penyakit. Walau bagaimanapun, terdapat segelintir komuniti Muslim yang meragui serta mempersoalkan tentang status halal vaksin.

Sumber: Laman web Jabatan Agama Islam Malaysia (JAKIM)

Ini kerana mereka berhak mendapatkan vaksin dengan status halal yang diyakini justeru menolak daripada menerima sebarang vaksin yang diambil dari sumber binatang yang tidak halal dalam Islam. Kenaikan penolakan vaksin ini tidak hanya berlaku di Malaysia tetapi juga di beberapa negara dengan majoriti penduduk Islam seperti Pakistan, Afganistan, Nepal, dan Mesir. Penolakan vaksin yang semakin meningkat ini amat membimbangkan kerana terdapat peningkatan dalam kes penularan wabak seperti polio, difteria, demam campak, tetanus, dan pertussis seterusnya penambahan angka kematian kerana penyakit ini.

Secara umumnya, dilema kepada sertifikasi halal vaksin ini adalah kerana berpegang kepada hukum Islam yang melarang penggunaan ubat-ubatan dari sumber yang haram seperti khinzir atau hasil yang terbit darinya. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Al-Darda dalam Kitab At-Tibb (Buku Perubatan) pada Bab ke-11 yang bermaksud, Rasulullah SAW telah bersabda: “Allah telah menurunkan penyakit dan juga bersamanya ubat untuk menyembuhkan, dan sesungguhnya terdapat penawar bagi setiap penyakit. Oleh itu, rawatlah penyakit yang dialami selagi penawarnya bukan dari sumber yang haram.”

Photo by Monstera from Pexels

Oleh kerana itu, ibu bapa Muslim memilih untuk tidak memberi vaksin kepada anak-anak mereka kerana berpegang dengan hadis tersebut, iaitu vaksin yang terhasil menggunakan DNA khinzir adalah haram untuk orang Islam. Sehubungan dengan itu, para ulamak dan mufti telah juga membuat perbincangan mengenai hukum vaksin yang mengandungi DNA khinzir. Mereka bersepakat bahawa, sekiranya dalam keadaan darurat di mana keperluan mengatasi larangan dan tidak terdapat vaksin dengan status halal tetapi pada masa yang sama mengawal penularan wabak menjadi keutamaan, hukum penerimaan vaksin tersebut menjadi harus.

Memisahkkan mitos dengan fakta adalah suatu perkara yang rumit dan perlu diperhalusi dalam mendidik masyarakat. Fenomena penolakan vaksin di Malaysia berpunca daripada salah faham ibu bapa Muslim tentang kegunaan vaksin. Perkara yang telah viral di media sosial antaranya adalah vaksin merupakan agenda Yahudi dan menjadi plot untuk melemahkan orang Islam. Spekulasi lebih buruk yang tersebar juga adalah vaksin menjadi taktik untuk menyebarkan penyakit kepada negara yang mempunyai kelompok majoriti orang Islam. Salah faham dan rasa ketakutan ini diburukkan lagi apabila orang-orang ternama seperti selebriti yang berani menyuarakan tindakan memboikot vaksin serta memegang konsep, “Hanya Allah sahaja yang Maha Berkuasa, Vaksin tidak mempunyai apa-apa kuasa.” Kesan daripada gerakan anti-vaksin ini akan memberi keburukan kepada komuniti Islam dalam melindungi masyarakat daripada penyakit yang boleh meragut nyawa. (Sumber: Ali Ahmed)

Di sini, peranan kerajaan dalam penggubalan undang-undang untuk menangani isu penolakan vaksin dilihat sebagai usaha mengurangkan penolakan vaksin. Kerajaan Malaysia telah mewartakan penolakan ibu bapa untuk kebenaran vaksin kepada anak-anak sebagai satu bentuk pengabaian dan kesalahan yang boleh dihukum dibawah Akta Kanak-kanak 2001 . Sekiranya disabitkan kesalahan boleh didenda sehingga RM20,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali. Kementerian Kesihatan Malaysia juga dalam usaha bersama dengan Kementerian Pendidikan untuk mewajibkan pengambilan vaksin kepada pelajar sekolah. Walau bagaimanapun, undang-undang ini masih lagi tidak dikuatkuasakan dengan berkesan.

Undang-undang mandatori pengambilan vaksin serta hukuman bagi penolakannya tidak berkesan tanpa pelaksanaan pendidikan awam yang berterusan. Memaksimakan kepentingan media sosial sebagai cara penyebaran maklumat yang jelas dan tepat dapat meningkatkan kesedaran dalam kalangan warganegara Malaysia. Antara lain adalah, usaha para saintis dalam menghasilkan vaksin berstatus halal juga mesti diteruskan bagi memenuhi keperluan Muslim pada masa akan datang. (Sumber: Ahmad Badri Abdullah)


Maryam Azalan adalah penulis di bawah program Headliner oleh Newswav, sebuah program di mana pencipta kandungan dapat menceritakan kisah unik mereka melalui artikel, pada masa yang sama menjana pendapatan melalui kandungan mereka dalam aplikasi Newswav.
Sila daftar di headliner.newswav.com untuk menjadi penulis kami sekarang!

*Kandungan di atas hanya mewakili pandangan penulis sendiri. Sekiranya anda mempunyai pertanyaan mengenai kandungan karya, hak cipta atau masalah lain, sila hubungi Newswav.

Maryam Azalan
Author: Maryam Azalan

A freelance content creator and blogger at tangangebu27.blogspot.com