Umur Emas Kanak-Kanak: Ibu Bapa Harus Peka Dengan Tumbesaran Mereka


Gambar oleh Samer Daboul di Pexels

Anak-anak cahaya mata. Penghibur hati penyejuk jiwa. Nikmat Allah yang paling bahagia untuk setiap pasangan di atas muka bumi ini. Zuriat pengikat kasih sayang, tanda cinta antara dua kekasih dan amanah terbesar daripada Allah yang sering kali kita terlupa setiap kali bila kita lelah dengan tugasan seharian sebagai seorang pekerja mahupun sebagai suri rumah. 

Ketika mereka masih bayi, kebiasaan masyarakat sekarang membiarkan anak-anak mereka sambil ditemani dengan gajet sama ada televisyen ataupun tablet. Harus diingatkan tabiat tersebut perlu diubah untuk kita membentuk sahsiah peribadi anak-anak yang lebih berjaya daripada segi mental, fizikal mahupun emosi. 

Bila umur anak yang harus kita fokuskan?

Umur emas atau umur yang paling penting untuk kedua-dua ibu bapa tumpukan dalam tumbesaran anak-anak adalah ketika mereka berusia 0-5 tahun. Ini kerana ketika umur begitu, otak kanak-kanak menyerap hampir 70% apa yang berlaku disekelilingnya. Apa sahaja yang terjadi, apa yang dilihat dan didengarinya semua menjadi makanan kepada otak si kecil. Jadi inilah para ibu bapa harus sedar bahawa takkan ada pepatah melayu melentur buluh biar dari rebungnya. Ia juga dikatakan masa kritikal bagi perkembangan emosi, sosial, dan spiritual kanak-kanak. Dalam fasa ini juga, setiap kanak-kanak harus mendapat 100% perhatian daripada ibu bapa dalam membentuk jati diri mereka untuk menjadi manusia yang berguna pada masa hadapan kelak. 

Jika kita lihat, setiap kelahiran anak-anak di Malaysia sememangnya akan dibekalkan dengan buku merah jambu bagi kanak-kanak perempuan dan buku biru bagi kanak-kanak lelaki untuk perkembangan kesihatan mereka. Dibelek setiap helaian muka surat buku tersebut pada ada pengetahuan asas untuk ibu bapa mempelajari apa yang perlu diperhatikan bagi setiap perkembangan anak-anak. Bahkan klinik kesihatan juga akan melakukan ujian saringan pada umur 18 bulan dan juga 4 tahun untuk memastikan kesihatan dan perkembangan si kecil mengikut proses yang sebetulnya. Perlu diingatkan setiap kanak-kanak itu mempunyai perkembangan yang berbeza-beza bergantung kepada persekitarannya. 

Setiap ibu bapa boleh sentiasa membuat rujukan yang kini lebih banyak sumber bagi membantu ibu bapa moden dalam mendidik anak-anak yang lebih berjaya daripada segi pendidikan dan juga emosi. Zaman serba canggih ini, semuanya sudah tersedia kerana ramai yang sudi berkongsi setiap pengalaman dan ilmu pengetahuan yang mereka perolehinya bagi membaikpulihkan keadaan generasi seterusnya agar adab mereka seiriingi dengan ilmu pengetahuan.


Gambar oleh Rodnae Production di Pexels

Perkembangan 0-12 bulan lebih kepada perkembangan fizikal dan emosi terutamanya. Ketika ini mereka lebih memerlukan sokongan daripada kedua ibu bapanya. Daripada si kecil berbaring, perlahan-lahan dia belajar untuk meniarap, kemudian belajar merangkak dan akhirnya dia boleh menapak setiap langkah. Jika anak-anak kelihatan seperti lambat daripada usia sebenar proses pembelajaran mereka, ibu bapa harus peka dan pantau. Sekiranya agak membimbangkan, perlu rujuk kepada pakar. 

Perkembangan 1-2 tahun adalah fasa mereka menjelajah seluruh isi rumah dan mula menunjukkan emosinya. Ketika ini apapun yang mereka lakukan adalah sebahagian daripada proses pembelajaran mereka untuk mengenali emosi berdasarkan respon orang sekeliling. 


Gambar oleh Alexandr Podvalny di Pexels

Perkembangan 2-5 tahun adalah yang paling kritikal kerana mereka mula tantrum dan tunjuk ego menguasai diri. Ketika ini juga ibu bapa harus lebih peka untuk tidak turut sama dalam proses emosi mereka. Peringkat umur ini juga dikenali sebagai preschool years. Di mana mereka boleh berdikari sendiri mengikut setiap arahan yang diberikan kepada mereka. Mereka sudah boleh memahami setiap patah perkataan yang kita ungkapkan, jadi ibu bapa patut menjaga setiap bait kata yang keluar daripada bibir. Keutamaan di umur ini adalah lebih kepada perkembangan fizikal kanak-kanak yang mula menerokai alam sekitar. 

Setiap perkembangan anak-anak adalah satu proses si kecil untuk menjadi manusia hebat. Kita sebagai ibu bapa harus lebih arif dan mendidik mereka untuk belajar dan berusaha menjadi lebih hebat baik dari segi luaran mahupun dalaman. Atau secara fizikal atau emosi harus seiring agar mereka menjadi manusia yang berguna pada masa akan datang. In shaa Allah. 


Aienienka adalah penulis di bawah program Headliner oleh Newswav, sebuah program di mana pencipta kandungan dapat menceritakan kisah unik mereka melalui artikel, pada masa yang sama menjana pendapatan melalui kandungan mereka dalam aplikasi Newswav.
Sila daftar di headliner.newswav.com untuk menjadi penulis kami sekarang!

*Kandungan di atas hanya mewakili pandangan penulis sendiri. Sekiranya anda mempunyai pertanyaan mengenai kandungan karya, hak cipta atau masalah lain, sila hubungi Newswav.

Aienienka
Author: Aienienka

A mother of three kids love to sharing everything that she knows.